~CuCuK AnGiN~

~Taukeh~

Kwak GTR

Jika anda melihat dunia pengembaraan sesuatu yang serius, jentera elit dua roda ini merupakan tunggangan sebenar di lebuh raya.


ANDAINYA ada anugerah motosikal pengembara dengan kuasa sehebat superbike, GTR layak menyandangnya. Dibina atas platform ZX14, GTR adalah motosikal hyper tourer yang cukup sempurna untuk mereka yang melihat dunia pengembaraan sebagai satu aktiviti serius.

Pada tanda harga sebuah apartmen sederhana mewah di Kuala Lumpur, jentera ini disasarkan kepada golongan elit, atau mereka yang benar-benar menghargainya sebagai sebuah mesin dua roda dengan ekspresi tunggangan sejati.

Terasa agak kekok menyebut GTR? Ya. Ia seakan-akan bermaksud kereta Skyline GTR atau Nissan GTR. Namun yang demikian, nama GTR untuk model Kawasaki ini telah digunakan meluas sebelum model ini.

Terdahulu, model ZG Concours 1000, juga dikenali dengan spesifikasi GTR. Ia adalah siri dan ZX yang disegmentasikan semula dengan imej sport tourer. Sama seperti yang disaksikan pada pengeluar lain seperti Honda ST1300 dan juga BMW K1200GT dan R1200RT.


SEGALA maklumat penting dipaparkan di papan instrumentasi ini.


Nama Concours memang tidak asing di kalangan penggemar motosikal kembara di Amerika Syarikat (AS). Model yang saya pandu uji ini juga dikenali sebagai Concours 14. Manakala pasaran selainnya dikenali sebagai GTR1400. Berkuasa 1400cc, ia adalah enjin terbesar dalam siri produksi motosikal dalam segmennya. Jika sebelum ini saya telah menguji ZX14 yang begitu banyak torknya, GTR agak lebih baik untuk seorang penunggang yang 'tidak gelojoh' atau corak tunggangan yang sederhana.

Direka pada platform motosikal produksi terpantas dunia, enjin GTR ini telah ditala semula untuk memberi lengkok kuasa yang mendatar dengan puncak yang datang pada rpm sederhana. Kebanyakan tourer memang direka begitu, untuk memberi tahap momentum kepada beban yang sekata. Jadi, ia tidak akan terus 'meledak' setiap kali pendikit dipulas seperti ZXR. Kuasa kepada beban direka direka lebih panjang, berbanding puncak tinggi pada RPM awal.


BREK cakera dengan sistem ABS.


Motosikal ini direka untuk memenuhi keperluan kembara kepada mereka yang serius. Dengan dua kotak simpanan barang sebagai peralatan OEM, ia menjadikan keseluruhan motosikal ini cukup lebar. Kedudukan cermin sisinya juga merupakan halangan besar untuk mencelah antara dua buah kereta. Kemahiran yang tinggi diperlukan untuk mencelah kerana jika tidak, tong belakang tersebut mungkin berlaga dengan mana-mana badan kereta.

Motosikal ini hanya sesuai di jalan lapang dan lebuh raya. Penghadang anginnya didatangkan dengan fungsi boleh laras secara automatik dengan menekan suis kecil pada hendal kiri. Sistem enjin dan pengendalian yang sofistikated menjadikan ia sebuah jentera yang cukup selamat sebaik anda memecut, hatta meter kelajuan menunjukkan lebih 200km/j. Secara jujur, saya boleh katakan anda kelihatan tidak bijak jika memandu pada kelajuan 120km/j kerana motosikal ini sangat stabil di laluan lurus dan terasa amat perlahan untuk kelajuan tersebut. Penggunaan shaft sebagai pemacu utama sedikitpun tidak menjadi isu seperti gegar, pinging atau power lag.

Cuma kelemahan yang paling saya tidak duga ialah karekteristik jentera ini semasa di selekoh. Cukup sekadar selekoh panjang di lebuh raya mendaki untuk diuji, badan motosikal ini terasa cukup berat untuk dibawa rebah. Titik gravitinya terasa cukup panjang untuk menyeimbangkan antara depan dan belakang. Apa yang lebih disedari ialah terasa buaian agak ketara pada 'ekor' belakang walhal anda sudah memasuki garisan selekoh dengan betul, kelajuan sederhana dan jalan yang rata.




Had maksimum motosikal ini memang direka begitu dan karekteristik tersebut didakwa hampir berlaku pada semua jenis hyper tourer. Enjin besar, badan yang lebar, bar hendal yang tinggi dan kotak belakang menyebabkan rasa buai ketara di selekoh. Bagaimanapun suspensi motosikal ini direka mengikut piawaian moden, namun disebabkan halangan aerodinamik tersebut, ia mempunyai batasan terhadap pengendalian, sesuai dengan sasaran pembelinya.

Suspensi belakang jentera ini dikenali sebagai Tetralever. Ia mudah dilaras dengan satu tuil pemulas di bahagian sisi kanan. Tidak seperti sistem Paralever dan CARC pada Moto Guzzi, sistem Tetralever ini lebih dinamik dalam mengharmonikan suspensi dengan sistem pacuan shaft. Tidak seperti sistem pacuan rantai, sistem shaft mempunyai batas regangan dan memaksa sistem suspensi yang kritikal dibina khas untuknya.

Selain memiliki kuasa yang menakjubkan, sistem breknya juga amat mantap. Mudah untuk menjangkakan di mana titik berhenti sepatutnya. Dibantu sistem ABS yang bertindak secara elektronik dan lebih sensitif, GTR memiliki pakej yang sarat dengan teknologi yang sukar dinafikan kehebatannya.

Reka bentuk mesin ini juga cukup sporty. Malah jika kotak belakang dibuang dan dipasangkan dengan hendal yang rendah, ia akan kelihatan seperti sebuah raksasa yang bersedia untuk membaham Hayabusa.

Fairing penuhnya menutup hampir keseluruhan enjin, papan pemukanya dihiasi dengan sepasang meter kelajuan dan tako. Tak cukup informasi? Nah, maklumat tekanan tayar dipaparkan di atas papan instrumentasi bersama dengan meter bekalan bahan api, suhu enjin, batuan dan kedudukan gear.

Memiliki motosikal premium memang satu kepuasan bagi mereka yang minat dan juga berkemampuan. Jentera ini dijual pada harga RM102,000, ia direka untuk golongan elit dan mereka yang serius berbicara tentang TOURING!

Petikan daripada:

www.kosmo.com.my



0 Response for the "Kwak GTR"

Related Posts with Thumbnails